Friday, May 24, 2013

Kehebatan Ramadhan

Julai 14, 2012 by  
Filed under Fikrah

 

Berbicara tentang Ramadan, kebiasaannya itulah detik-detik terbaik seorang muslim dalam setahun. Selama hampir 30 hari ia akan habiskan sebahagian masanya untuk beribadah kepada Allah SWT. Rela atau terpaksa. Musim ia mengingati Tuhannya, Penciptanya, Pemberi rezeki dan nyawanya. Sedangkan seringkali dia lalai mengingatinya di bulan-bulan yang lain. Hebatnya Ramadan.

Ramadan dan puasa memaksa dia melawan nafsu, khususnya nafsu makan. Ajaibnya dia berjaya melakukannya. Dalam keadaan ikhlas atau terpaksa. Perkara yang sama hampir mustahil dilakukan di luar bulan Ramadan kecuali mereka yang terlantar di ICU atau hilang selera makan. Hebatnya Ramadan.

Ramadan dan terawih mengajar dia menggandakan amalan. Bukan berpada dengan yang wajib, bahkan kena juga memberi ruang untuk yang sunat. Amalan ini menjadikan imannya naik sedarjat dari bulan-bulan biasa. Waktu ini dia tahu jalan ke masjid. Kenal tuan imam. Tahu waktu solat terutamanya subuh dan maghrib. Yang mungkin selama hampir setahun dia tak ambil kisah. Bahkan bulan ini dia bergegas mencari jadual solat kerana di dalamnya tercatat waktu berbuka puasa. Adapun di bulan yang lain, jadual solat jarang sekali tergantung di dinding rumahnya. Hebatnya Ramadan.

Ramadan dan sungkai (berbuka puasa) mengajar muslim erti kekeluargaan dan persaudaraan. Kecuali yang mengekalkan sifat kedekutnya sanggup berbuka bersendirian. Bulan ini orang cepat balik ke rumah. Berbuka dengan isteri dan anak-anak. Waktu ini ramai ibubapa yang baru faham gelagat dan sifat anak anak. Sudah agak lama tidak makan bersama. Waktu ini baru sedar akan kewujudan jiran sebelah, maklumlah setiap hari dia menghantar semangkuk juadah berbuka. Malu pula kalau dikembalikan kosong. Dulu, masing-masing sibuk bekerja. Keluar awal pagi dan pulang larut malam. Mencari rezeki. Ramadan mengubah sekejap rentak hidup mereka. Hebatnya Ramadan.

Itulah keseronokan bulan Ramadan menurut pandangan iman.

Selagi masih ada iman dan takwa (walau kadangkala tertutup oleh hubb al-dunia). Ramadan pasti mengubahnya. Walau sekejap.

Namun…

Bagi mereka yang imannya sudah padam, mereka ini tidak mampu membezakan antara Ramadan dan bulan biasa. Mereka ini tak ada yang berubah. Kalau dia sedar pun cuma kerana wujudnya bazar Ramadan di merata tempat. Menyeronokkannya membeli belah untuk berbuka sebelum tiba masanya. Orang ini sangat malang nasibnya. Sangat kecil akalnya walau memiliki ijazah peringkat tertinggi.

Kalau Ramadan pun tak mampu mengubahnya, entah di bulan bila lagi dia mampu melakukannya?

Mukmin Sebenar

Bagi mukmin sebenar. Yang sedar diri dan hakikat hidup dan mati. Inilah bulan dia banyak memandang ke bumi. Rasa hina dan rendah diri. Perjalanan hidup yang pastinya dipenuhi keterlanjuran dan kejahatan perlu diperbaiki. Dosa dan noda yang tercatat kukuh di sisi al-Rahman perlukan keampunan atau sekurang-kurangnya perubahan. Mukmin begini sangat menghargai kehadiran Ramadan. Inilah harapan terakhir baginya untuk memulakan perubahan. Atau pernah mencuba dan gagal, maka inilah peluang baru untuk ia mencuba lagi. Selagi hayat dikandung badan, dia percaya janji Allah yang tidak akan menghampakan harapan hambaNya dan peluang kedua.

Himpunkanlah semua dosamu. Yang besar hinggalah sekecil-kecil kesilapan. Bentangkanlah dia di atas sejadah Ramadan. Angkat tinggi-tinggi kedua tanganmu, pandanglah ke langit yang tinggi atau tundukkan mukamu melihat bumi. Kira balik dosa-dosa itu setiap hari, ketika sahur, ketika berbuka, ketika terawih, ketika tahajjud, ketika witir, ketika jaga, ketika tidurmu… kira berkali-kali. Begitu banyak hutang yang akan kau bawa mengadap Penciptamu kelak.

Menangislah atau buat-buatlah menangis andai hatimu terlalu keras. Minta ampunlah dengan nada sayu dan sangat hina. Mudah-mudahan Allah mengampunkanmu atau sekurang-kurangnya Dia tahu kau benar benar jujur memohon ampun.

Bukalah al-Quran dan bacalah. Di dalamnya terkandung pelbagai pilihan hukuman untuk semua dosa-dosa tersebut. Andainya kau temui ayat-ayat nikmat dan kegembiraan, mungkin bukan untukmu lantaran sudah puluhan tahun kau begitu gembira…. bagimu ayat-ayat sedih. Bagimu ayat-ayat yang membuatmu menangis sepanjang bulan ini sebelum tiba hari kau benar-benar menangisi kelalaianmu.

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi seperti yang disebut dalam hadith:

Dari Jabir bin Samuroh rodhiyallahu’anhu, Rosulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Aku menjumpai Jibril, kemudian dia berkata: “Wahai Muhammad, barangsiapa yang menjumpai salah seorang dari kedua orang tuanya kemudian ia meninggal, kemudian ia dimasukkan ke neraka, semoga Allah melaknatnya.” Rosulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Amin”.

Jibril berkata, “Wahai Muhammad, barangsiapa yang menjumpai bulan Ramadan kemudian ia meninggal, dan tidak diampunkan dosanya, maka dimasukkan ia ke neraka, semoga Allah melaknatnya.” Rosulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Amin”.

Jibril berkata, “Wahai Muhammad, barangsiapa yang engkau disebutkan padanya ia tidak bersholawat kemudian meninggal dan dimasukkan ke neraka, semoga Allah melaknatnya.” Rosulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Amin”.  - Al Jami’ush Shoghir wa Ziyadatuhu 75 (1/8)

Ahlan Ya Ramadhan. Mudahan hadirmu membawa harapan. Buat insan hina sepertiku.

Oleh: Ustaz Sarip Adul
YDP ISMA Sabah
Blog Abu Syifa’ 

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!