Friday, May 24, 2013

Merdekakan dirimu di bulan Ramadhan

Ogos 5, 2012 by  
Filed under Fikrah, Minda Pimpinan

Sudah 15 hari umat Islam seluruh dunia menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa kepada seluruh umat Islam yang bergembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan penuh ghairah dan bersungguh-sungguh.

Bulan Ramadan dikatakan bulan yang menahan NAFSU manusia daripada melakukan segala perkara yang dibenarkan pada bulan-bulan yang lain. Pada bulan ini, bermula daripada terbit matahari sehinggalah terbenamnya matahari, manusia dilarang daripada makan dan minum, mengadakan hubungan suami isteri, mengumpat, mencaci, menghina, marah yang tidak tentu pasal, membalas dendam dan lain-lain lagi kesukaan nafsu yang terpaksa ditahan.

Apabila manusia berjaya mengawal nafsunya daripada terus menguasai dan mengatur urus kehidupannya, ia sebenarnya telah berjaya membebaskan diri daripada belenggu hawa nafsu dan keinginan yang tidak berkesudahan.

Kejayaan kita mengawal dan mengatur urus nafsu di bulan Ramadan sepatutnya menjadi MUNTALAQ (titik tolak) untuk kita mengawal dan mengatur urus nafsu ini pada bulan-bulan yang lain, sehingga nafsu boleh menjadi kuda tunggangan yang baik, bukanlah yang sebaliknya.

Inilah nilai kemerdekaan yang sebenar kepada manusia, merdeka daripada menjadi tunggangan nafsu dan keinginan yang tidak berkesudahan. Apabila manusia merdeka daripada menjadi kuda tunggangan nafsu, pintu-pintu kebaikan dan hidayah terbuka luas untuknya melaksanakan amal Islam.

Nafsu yang merdeka adalah nafsu yang berjaya menjauhi diri dan keinginan yang bukan atas nama Islam. Seorang muslim yang merdeka ialah apabila ia melakukan sesuatu perkara di atas nama Islam demi kepentingan Islam dan untuk menegakkan agama Islam.

Sementara hawa nafsu pula sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan, meninggalkan amar makruf nahi mungkar dan suka kepada keseronokan dan syahwat. Oleh sebab itulah, Allah Taala telah berpesan kepada Nabi Daud dalam firmanNya yang bermaksud:

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi ini, maka laksanakanlah hukuman di antara manusia dengan penuh keadilan, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, nanti ia akan menyesatkan kamu dari Jalan Allah.” [Surah Shad: 26]

Ayat di atas jelas menunjukkan perintah Allah kepada penguasa yang diberi hak memerintah untuk melaksanakan hukuman secara adil di atas landasan Islam dan kehendak agama, bukan berdasarkan keputusan hawa nafsu dan kehendak nafsu. Nafsu biasanya membawa manusia melupai Allah Taala, meninggalkan larangan dan suruhanNya.

Ini adalah kerana hawa nafsu pada asasnya tidak faham, tidak jujur, tidak tahu halal haram dan tidak tahu tentang kelebihan akhirat. Apa yang diketahui oleh nafsu ialah keseronokan dan kelalaian daripada mengerjakan perentah Allah.

Bagi mengawal nafsu yang bermaharajalela dalam diri manusia, adanya ruh yang bertempat dalam hati manusia yang bertugas memahami kehendak Allah Taala, memahami perkara-perkara di sebalik alam semuala jadi, memahami buruk baik, kebaikan, hikmat disebalik kejadian, keTuhanan, pembalasan dan seumpamanya. Ruh adalah urusan Allah s.w.t yang kekal menjadi rahsia Allah sehingga hari kiamat.

Oleh sebab itu, manusia berurusan dengan nafsu pada perkara-perkara tabiat manakala manusia berurusan dengan ruh pada perkara-perkara disebalik tabiat. Kalau manusia mengikut nafsu, ia akan makan apa sahaja yang menyelerakan, tanpa mengambil kira risiko dan kesan pemakanan tersebut, namun begitu, ruh atau hati akan memberi isyarat sama ada ia baik untuk kesihatan, adakah ia halal atau haram dan sebagainya.

Bagi nafsu yang dikawal selia oleh hati atau ruh, ia akan dapat menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan diri, manakala nafsu yang terlepas daripada ikatan hati akan melakukan apa sahaja yang disukai tanpa mengenal halal dan haram. Oleh itu MERDEKAKAN dirimu daripada belenggu hawa nafsu yang merosakkan dirimu sendiri.

SELAMAT MENERUSKAN IBADAT PUASA DAN MENGGAPAI LAILATUL QADAR.

AMEEN YA RABB.

Oleh: Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!