Friday, May 24, 2013

Profil


Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merupakan satu badan NGO yang bergerak aktif berperanan di tengah-tengah masyarakat untuk mengurangkan gejala-gejala sosial di kalangan remaja mahupun golongan dewasa. Program-program yang dilaksanakan menjurus kepada penghayatan kehidupan beragama dan mengamalkannya di dalam kehidupan seharian.

Dengan misi untuk memberi kesan di dalam masyarakat melalui program-program yang dilaksanakan, ISMA berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat penubuhannya dan berhasrat untuk memikul amanah sebagai organisasi yang memberikan kebaikan kepada seluruh masyarakat dari aspek kebajikan sosial, pembangunan insan, kekeluargaan, pembangunan remaja dan belia serta wanita. ISMA juga peka pada perkembangan semasa dan sentiasa mengambil berat akan hal-ehwal mutakhir masyarakat, khususnya masyarakat muslim. ISMA tampil dengan satu gagasan yang didokongi pemuda-pemudi yang tinggi semangat juang mereka dalam usaha untuk memartabatkan bangsa dan negara di persada dunia dengan berpaksikan Islam.

Inisiatif untuk menubuhkan cawangan-cawangan ISMA telah digalas oleh wakil-wakil ISMA di luar negara demi meneruskan visi dan misi ISMA dalam melahirkan generasi harapan bangsa dan negara. Sebagai contoh, ISMA cawangan Australia telah ditubuhkan dan dirasmikan oleh Setiausaha 1 Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia, Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee pada 16 Julai 2009, dengan visi dan misi ISMA yang digariskan agar generasi hari ini menjadi aset penting ummah dan nadi penggerak kepada pembinaan negara yang bertunjangkan kepada Islam dan keadilan sejagat. Semenjak penubuhannya, ISMA-Australia telah menganjurkan pelbagai program seperti Seminar Kerjaya Kedoktoran Malaysia dan Etika Perubatan Islam, Sambutan Malam Kemerdekaan, Seminar Mahasiswa Malaysia, Roadshow Palestin, Seminar Pemuda Islam, Majlis Iftar Perdana, Melbond Games dan banyak lagi program di sekitar Australia dengan kerjasama pelbagai pihak. ISMA cawangan Mesir juga telah ditubuhkan lebih awal dengan naungan Kedutaan Besar Malaysia-Kaherah di Republik Arab Mesir atas visi dan misi yang sama.

Video Korporat ISMA from Media ISMA on Vimeo.

Wakil-wakil ISMA di New Zealand juga ingin menyuarakan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap program-program pembinaan insan yang berpaksikan Islam demi melahirkan generasi yang bukan sahaja tinggi penguasaan ilmunya, malah terjelma pada generasi ini budaya kehidupan yang bersih dan sihat.

Kami percaya dalam konteks kehidupan hari ini yang didominasi perubahan cara hidup, kaedah pemikiran dan cabaran-cabaran global, generasi muslim hari ini perlu memiliki ciri-ciri keunggulan dari segi keperibadian, kemahiran, penguasaan ilmu dan juga teknologi. Perubahan dan evolusi kehidupan yang semakin mencabar hari ini memerlukan generasi yang bersedia untuk memikul harapan bangsa dan negara dalam membawa cabaran negara di hari mendatang.

Sebagai salah satu cawangan, kami bertekad untuk menggalas misi dan visi ISMA dalam melahirkan generasi harapan bangsa dan negara. ISMA ingin menyuarakan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap program-program pembinaan insan yang berpaksikan Islam demi melahirkan generasi yang bukan sahaja tinggi penguasaan ilmunya, malah terjelma pada generasi ini budaya kehidupan yang bersih dan sihat. Visi dan misi digariskan yang sedemikian agar generasi hari ini menjadi aset penting ummah dan menjadi nadi penggerak kepada pembinaan negara yang bertunjangkan kepada Islam dan keadilan sejagat.

Dengan penuh rasa tawadu’, ISMA New Zealand ingin melahirkan kesediaan untuk berganding bahu bersama dengan pihak MSD, pertubuhan-pertubuhan pelajar dan pertubuhan kemasyarakatan di New Zealand dalam usaha untuk merealisasikan misi kita bersama, Membina Generasi Harapan.