Wednesday, May 22, 2013

Perutusan Pengerusi


Assalamualaikum wrth

Segala puji dan syukur buat Allah SWT, Rabb yang haq dan mutlak tiada selain-Nya, yang telah memberikan kita petunjuk dan izin-Nya untuk kita semua menikmati kemanisan Iman dan Islam.

Selawat dan salam buat junjungan besar dan mulia, Mu’allim teragung, Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda dan para sahabat.

Pendahuluan

Saudara saudari yang saya kasihi dan hormati sekalian.

Pertama-tamanya ucapan tahniah dan sekalung penghargaan kepada semua yang telah bertungkus lumus dan berusaha dalam menyiapkan pembinaan laman web Ikatan Muslimin Malaysia New Zealand (ISMA NZ) ini, terutamanya para petugas dari Biro Media & Sebaran. Semoga dengan pelancaran dan wajah baru ini, usaha pembinaan generasi harapan yang sedang digerakkan di seluruh New Zealand dapat lebih difahami dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat.

Di kesempatan ini juga ingin saya ukirkan seribu penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menyokong usaha yang dilakukan ini, terutamanya pihak Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) New Zealand, pihak Sekretariat Antarabangsa (SEKTAR) ISMA Pusat, wakil dari ISMA Australia serta badan-badan persatuan pelajar dan komuniti masyarakat Muslim Malaysia di New Zealand.

Sejarah dan Pengenalan ISMA NZ

Sebelum saya pergi lebih jauh dalam kata-kata aluan ini, izinkan saya membawa anda semua melihat ke belakang mengambil sedikit pengajaran dari masa lalu, kemudian membentangkan serba sedikit pengenalan latar belakang ISMA NZ dan cita-citanya.

Tahun 2009 berlalu dengan seribu macam pengajaran dan teladan yang boleh kita ambil. Di peringkat dunia, 2009 dimulakan dengan serangan kejam rejim Zionis Israel ke atas Gaza. Kita kemudiannya dikejutkan dengan berita pembantaian kaum Uighur di China, dan pada masa yang sama saudara seMuslim kita di Mindanao, Rohingya dan tempat-tempat lain di seluruh dunia terus ditindas. Seterusnya kita diuji dengan penularan wabak H1N1 yang menimbulkan ketakutan masyarakat dunia, disusuli dengan pelbagai bencana alam seperti gempa bumi di kepulauan Indonesia dan tsunami di kepulauan Pasifik.

Saudara saudari sekalian, ingatlah bahawa semua ini semestinya tidak berlaku dengan sia-sia. Pasti ada pengajaran dan peringatan kepada kita selaku Muslim dan Mukmin yang telah berjanji untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Manakala di bumi New Zealand sendiri, tahun 2009 diisi dengan pelbagai kisah dan pengalaman, suka dan duka dalam urusan seharian, juga dalam usaha membina dan memperbaiki masyarakat serta menyebarkan kebaikan.

ISMA NZ bermula dengan ikatan persefahaman tidak rasmi yang dibina antara para pelajar Malaysia Muslim yang menuntut di seluruh New Zealand. Hasil beberapa pertemuan dan perbincangan rapi, juga dengan usaha penganjuran Jalinan Ukhuwah New Zealand (JUNZ) dan Roadshow Palestin di beberapa bandar besar, JK Penaja Penubuhan ISMA NZ telah ditubuhkan. Dengan kerja keras selama beberapa bulan, akhirnya kertas kerja penubuhan berjaya disiapkan dan dihantar kepada Jabatan Penuntut Malaysia New Zealand pada akhir tahun 2009. Kini ISMA NZ mempunyai wakil-wakil di lima buah bandar besar di New Zealand iaitu Auckland, Palmerston North, Wellington, Christchurch dan Dunedin.

Bekalan Di Perantauan

Saudara saudari yang budiman.

Kehidupan di perantauan, jauh dari sanak saudara juga keluarga, dan dikelilingi dengan budaya yang serba asing bukanlah merupakan satu pengalaman yang mudah. Terlalu banyak cabaran dan dugaan yang mendatang saban hari untuk menguji kita.

Namun atas dasar untuk menimba ilmu ikhlas kerana Allah SWT, kehidupan di perantauan ini tetap diteruskan juga. Perjalanan yang mencabar ini pastinya perlukan bekalan untuk memastikan kita tidak tersangkut di tengah jalan.

Tiga bekalan utama yang diperlukan oleh seorang muslim adalah kekuatan iman, kekuatan ukhuwah dan kekuatan material. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang menjadi tempat rujukan utama kita:

Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang (berjuang) di jalan Allah dalam barisan yang teratur, seakan-akan seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” [as-Shaff:4]

Pertamanya kekuatan iman, yang sama sekali tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi kerana kita hidup dalam masyarakat yang majoritinya adalah bukan muslim. Iman itu sifatnya turun dan naik, dan amal-amal iman juga boleh turun naik sepertimana hakikat iman itu sendiri.

Inilah cabaran terbesar sebenarnya, iaitu untuk menjaga iman kita dalam usaha untuk menuntut ilmu bagi memperbaiki masyarakat dan seterusnya menaikkan semula Islam di persada dunia. Maka usaha-usaha meningkatkan dan menjaga iman perlu sentiasa dilakukan dan dibiasakan. Hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu, dekatkan diri dengan masjid, banyakkan pembacaan untuk membuka minda, bergaullah dengan sahabat-sahabat yang baik dan jauhilah dari tempat-tempat yang boleh merosakkan iman.

Jika datang satu saat kita terasa futur (i.e. lemah iman), ingatlah akan hadis Nabi Saw ini;

Setiap amal mempunyai masa semangat (syirrah), dan setiap masa semangat terdapat pula masa turun semangat (fatrah). Barangsiapa yang masa lemah semangatnya masih berada pada sunnahku, maka dia telah mendapat petunjuk. Dan barangsiapa yang masa lemah semangatnya menjurus ke sesuatu yang lain, maka dia akan binasa.”

Keduanya adalah kekuatan ukhuwah atau persaudaraan Islam. Hidup sebagai minoriti dalam bilangan yang sedikit dan dikelilingi oleh pelbagai tarikan duniawi, hubungan antara kita memerlukan ikatan persaudaraan yang mendalam, berasaskan keimanan yang kukuh dan niat yang ikhlas untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Pastinya kita tidak mahu masuk ke syurga berseorangan meninggalkan sahabat-sahabat kita yang lain, seperti mana kita tidak mahu ditinggalkan dari terpilih ke syurga oleh orang lain. Maka saudara saudari sekalian,berilah perhatian yang serius pada persiapan bekalan ini di perantauan.

Asas dakwah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW berkasih sayang, mempermudahkan dan tidak menyusahkan, juga menyampaikan berita gembira bukan menakut-nakutkan. Senyum, ramah, berlapang dada dan bertegur sapa sewajarnya menjadi akhlak seharian kita. Buanglah segala sifat hasad dengki, memandang rendah, mengumpat dan sebagainya. Hiaskan diri dengan akhlak terpuji dan kuasailah ego yang mampu merosakkan diri.

Keterbatasan geografi New Zealand bukan alasan untuk iktan ukhuwah antara kita rapuh, juga bukan alasan untuk tidak mengunjungi sahabat-sahabat lain di seluruh NZ. Wujudkanlah rasa kebersamaan dengan banyak berkongsi cerita juga pengalaman di kawasan masing-masing, dan saling menziarahi apabila punya waktu dan kesempatan.

Bekalan ketiga adalah kekuatan material. Ini datang dalam pelbagai bentuk termasuk kewangan, tempat tinggal, kenderaan, kedudukan juga pusat-pusat aktiviti masyarakat. Berpijak di bumi nyata, kita melihat tanpa kekuatan material ini segala usaha dan aktiviti untuk menguatkan iman dan merapatkan ukhuwah akan sukar untuk dijalankan.

Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan pelbagai nikmat di atas muka bumi ini untuk kita gunakan, maka gunakanlah nikmat ini dengan sebaik-baiknya. Kita bukanlah mengejar habuan dunia semata-mata, tetapi pada masa yang sama menyimpan bahagian dan bekalan untuk hari perhitungan di padang mahsyar kelak.

Penutup

Akhirnya, marilah sama-sama kita renungi sepotong ayat dari al-Quran:

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu),
padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

[Ali Imran 3: 139]

Sesungguhnya kita bertuah kerana terpilih untuk berada di bumi New Zealand ini. Setiap usaha dan tenaga yang dicurahkan dengan ikhlas, ganjarannya adalah dari Allah SWT. Gunakanlah kesempatan ini untuk meluaskan pemikiran, bertukar pengalaman, bermuhasabah menilai diri dan akhirnya berazam bersungguh-sunguh untuk menabur bakti memperbaiki masyarakat setelah kembali ke tanah air. Kita mengharapkan sedikit usaha ini diterima oleh Allah SWT dan lebih mendekatkan kita dalam mencari Jannatul Firdaus insyaAllah.

Terima kasih atas kesudian membaca sehingga ke akhir. Salah silap, kekurangan dan kelemahan saya mohon maaf dan besar hajat saya agar anda semua dapat menegur setiap kali terdapat sebarang kelalaian, kesalahan dan kecuaian.

Akhir kata, ayuh marilah kita bersama-sama “Membina Generasi Harapan.”

Wassalam wrth.

Mus’ab Umair b Hassan
Pengerusi ISMA NZ 2010/11

+6421-02408534

http://al-muqri.blogspot.com